
Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap  mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih  teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana  terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka,  nescaya aku bunuh diriku." 
Setelah  Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah  digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai  empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dna dididik  berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk  berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar  anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan  cabaran. 
Pada  tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan  tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah  dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai  41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya  agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga  ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat  dan menaikkan semangat pejuan tentera Islam. 
Dengarlah  nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan  perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati.  Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada  tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari  seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu,  aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah  merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan  kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum  muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasaya kampung  yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa." 
Kemudian  Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai  orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan  teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi  orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar  nasihat bonda yang disayanginya. 
Seterusnya  Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam  keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu.  Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika  kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api  peperangan yang sedang bergejolak, masuklah akmu ke dalamnya. Dan  dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga  kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat  tinggal yang kekal." 
Subuh  esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang  masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh,  kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau  syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah  memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan perang  berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga  bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan  tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat  tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah . 
Putera-putera  Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan  nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil  mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair, 
"Hai  saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah  memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang  keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita  buktikan sedikit masa lagi." 
Kemudian  ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh  anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan  semangat yang berapi-api ia bersyair, 
"Demi  Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya  wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah  bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat  keluarga Kaisar musnah." 
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair, 
"Sungguh  ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah  menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah  nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya  sendiri Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk  mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di  dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang  abadi." 
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair, 
"Bukanlah  aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana  'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera  asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan  musnah mangsa oleh senjataku." 
Bergelutlah  keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga  diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang.  Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan  kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di  barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang  binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan  gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah  yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya,  memijak-mijak tentera Farsi yang lannya. Kesempatan ini digunakan oleh  pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi  dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang  menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai  menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya  sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri. 
Umat  Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur.  Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah  lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur  empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera  Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat  anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan  tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah  dengan ucapan, 
"Segala  puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka,  dan aku mengahrapkan darii Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan  mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!" 
Al-Khansa  kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup  dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia.  Dari peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran  kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati  syahid."
The and.... 
 
 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
yang mau koment silahkan.....